Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Januari. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) hari ini mengadakan Sesi Muzakarah Bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.
Hadir pada Sesi Muzakarah tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Seramai 16 Ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas 'B' hadir pada Sesi Muzakarah berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap I, KSSUP, Awang Haji Mohd. Yusree bin Haji Junaidi; pengarah-pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai kanan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sesi Muzakarah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, yang antara lain mengongsikan inisiatif, hala tuju strategik dan fokus utama dalam meningkatkan keluaran industri sumber-sumber utama dan memajukan industri pelancongan serta pencapaian dan sasaran keluaran sektor KSSUP.
Sesi diteruskan dengan taklimat mengenai pencapaian dan perkembangan bagi Tahun 2025 dan hala tuju sektor sumber-sumber utama dan pelancongan yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I, KSSUP, Awang Haji Mohd. Yusree, antara lain menjelaskan mengenai tahap sara diri komodi dalam sektor makanan kemajuan industri pelancongan serta pembangunan dan pemuliharaan sumber hutan.
Menurutnya, kementerian juga mendukung usaha kemajuan dan pembangunan industri pelancongan melalui pengukuhan promosi dan pemasaran, pembangunan produk dan infrastruktur pelancongan, peningkatan kualiti perkhidmatan serta pembangunan kapasiti tenaga kerja, di samping memperkukuh kesalinghubungan dan kerjasama strategik bagi meningkatkan daya saing serta sumbangan sektor pelancongan kepada sosioekonomi negara.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kementerian akan terus berusaha secara bersepadu serta meningkatkan keluaran sektor pertanian dan agrimakanan dan perikanan melalui pengukuhan dasar dan perancangan strategik, peningkatan produktiviti dan nilai tambah, pembangunan kapasiti sumber manusia, pemerkasaan rantaian nilai, peluasan akses pasaran termasuk eksport, serta penerapan prinsip kelestarian dan inovasi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Majlis diteruskan dengan sesi perbincangan dan soal jawab. Pada tahun 2025, tahap sara diri bagi komoditi tumpuan dalam sektor makanan menunjukkan pencapaian yang pelbagai. Bekalan telur ayam telah melebihi keperluan domestik dengan 112 peratus, manakala ayam pedaging mencapai 100 peratus.
Tahap sara diri bagi daging kerbau dan lembu adalah sekitar 1.6 peratus, dan bekalan beras yang masih bergantung kepada import dengan hanya 8.5 peratus dari pengeluaran tempatan. Sayur-sayuran tropika mencatatkan 78 peratus dan buah-buahan tropika 43 peratus, sementara bekalan ikan dan udang telah mencapai sekitar 63 peratus.
Sehubungan itu, pihak kementerian akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi meningkatkan tahap sara diri makanan negara, khususnya sayur-sayuran, buah-buahan tropika dan industri padi, serta mempelbagaikan sumber import bagi menjamin sekuriti makanan yang mampan.
Pelbagai strategi dan inisiatif telah dikongsikan untuk memperkukuh ekosistem rantaian nilai industri makanan yang meliputi fasa daripada mendapatkan bahan input, pengeluaran, hingga akses pasaran.
Ini termasuk inisiatif dan program yang bertujuan untuk meningkatkan serta mengukuhkan sekuriti makanan, di samping mempromosikan ekonomi kitaran ke arah kelestarian alam sekitar melalui penerapan konsep Pertanian Regeneratif.
Usaha untuk meningkatkan dan memperkukuh industri agrimakanan sedang giat dilaksanakan melalui pelbagai program seperti Product Enhancement serta Program Peningkatan Kapasiti yang bertujuan untuk memudahkan pengusaha dalam memperluas perniagaan mereka ke pasar raya utama serta meneroka peluang pasaran eksport.
Kementerian juga mendukung usaha kemajuan dan pembangunan industri pelancongan melalui pengukuhan promosi dan pemasaran, pembangunan produk dan infrastruktur pelancongan, peningkatan kualiti perkhidmatan serta pembangunan kapasiti tenaga kerja, di samping memperkukuh kesalinghubungan dan kerjasama strategik bagi meningkatkan daya saing serta sumbangan sektor pelancongan kepada sosioekonomi negara.
Pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan akan terus melaksanakan usaha-usaha pemuliharaan dan pembangunan sumber hutan secara mampan melalui pengukuhan dasar biodiversiti, pemulihan dan penghijauan hutan, pengurusan konflik manusia dan hidupan liar, serta penggunaan teknologi dan data saintifik bagi pengurusan hutan lestari.
Di samping itu, Jabatan Perhutanan turut memacu pembangunan industri perkayuan bernilai tambah, meneroka inisiatif perdagangan karbon, dan menyokong pelancongan berasaskan alam semula jadi bagi meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada ekonomi negara.
Pihak kementerian akan terus berusaha secara bersepadu dan menyeluruh untuk mempelbagaikan serta meningkatkan keluaran sektor pertanian dan agrimakanan dan perikanan melalui pengukuhan dasar dan perancangan strategik, peningkatan produktiviti dan nilai tambah, pembangunan kapasiti sumber manusia, pemerkasaan rantaian nilai, peluasan akses pasaran termasuk eksport serta penerapan prinsip kelestarian dan inovasi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.